Rumah Gemilang perlu perhatian  

Posted by: rumah gemilang in


SIK 21 Sept. - Sebanyak 80 anak yatim yang tinggal di Rumah Gemilang di sini masih memerlukan perhatian dan sumbangan ehsan orang ramai secara berterusan termasuk barangan makanan, peralatan rumah dan pakaian.

Walaupun mendapat peruntukan daripada pihak tertentu seperti Pejabat daerah Sik, Yayasan Islam Kedah (YIK) dan wakil rakyat, ia tidak mencukupi.

Setiausaha Rumah gemilang Sik, Md. Desa Ibrahim berkata, pihaknya berharap orang ramai bersimpati dengan nasib anak-anak yatim yang memerlukan keperluan asas itu khususnya dalam menyediakan peluang terutama pendidikan kepada anak-anak yatim berkenaan.

Katanya, anak-anak yatim tersebut yang menghuni rumah berkenaan berusia antara tujuh hingga 19 tahun dan masih belajar di sekolah di daerah ini.

"Kami berharap pihak-pihak tertentu dan orang ramai dapat menghulurkan sumbangan untuk menampung keperluan asas anak-anak yatim yang tinggal di Rumah Gemilang ini," katanya.

Beliau ditemui selepas menerima sumbangan YIK yang disampaikan oleh Pengurus Besarnya, Nordin Yahya. Turut hadir Pegawai Daerah Sik, Azmi Din dan Ahli Dewan Undangan Negeri Belantek, Mohd. Tajuddin Abdullah.

Tambahnya, anak-anak yatim yang ditempatkan di rumah itu disediakan pendidikan agama termasuk kelas al-Quran.

Kata Md. Desa, anak-anak yatim terbabit bukan sahaja dari daerah Sik malah dari Baling dan Sungai Petani.

Akibat kekurangan prasarana anak-anak yatim putera (lelaki) terpaksa tinggal di kawasan Chepir yang agak jauh dari rumah itu sehingga menyebabkan urusan pengendalian mereka agak terganggu.

Jelas Md. Desa, Rumah Gemilang yang diwujudkan sejak September 2000 ini telah banyak melahirkan anak-anak yatim yang berjaya sehingga berjaya ke menara gading atau menuntut di Asia Barat.

Sementara itu, Mohd. Tajuddin dalam ucapan melahirkan keyakinan terhadap komitmen masyarakat dalam membantu rumah tersebut bagi membolehkan pembangunan insan kepada anak-anak yatim dapat diteruskan.

Beliau turut memberi jaminan, pihaknya akan tetap membantu anak-anak yatim untuk mencari dana bagi membantu mereka terutama dalam pendidikan.

"Kita akan terus mencari dana untuk keperluan anak-anak ini tetapi berharap orang ramai turut bersedia menghulurkan sumbangan," katanya yang turut menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim terbabit

Sumber : kedahlanie.blogspot.com/.../rumah-gemilang-perlu-perhatian.html

This entry was posted on 8:35 PM and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments

Post a Comment